Kedai Kebun dan Nurseri Putrajaya

Cara Membuat Tanah Campuran Yang Sesuai Untuk Tanaman

Cara Membuat Tanah Campuran Yang Sesuai Untuk Tanaman

Pengenalan

Terdapat pelbagai faktor yang memainkan peranan dalam mendapatkan pertumbuhan tanaman yang baik dan tanah merupakan salah satu faktor yang penting. Tanaman mempunyai empat keperluan asas iaitu air, cahaya, udara, dan nutrien dan tanah memainkan peranan dalam membekal tiga daripada empat keperluan asas ini. Selain daripada itu, ia juga memberi sokongan kepada tanaman dan mikrob yang terkandung di dalam tanah juga boleh memberi pelbagai manfaat untuk tanaman.

Artikel di atas menerangkan lebih lanjut mengenai kerpeluan asas tanaman

Tanah terdiri daripada tiga bahan mineral yang utama iaitu pasir (sand), kelodak (silt), dan tanah liat (clay) serta boleh mengandungi bahan-bahan organik dan nutrien. Tekstur tanah adalah berbeza bergantung kepada kadar campuran bahan-bahan yang terdapat di dalam tanah yang juga mempengaruhi kesesuaiannya dengan sesuatu tanaman. Struktur tanah juga memainkan peranan penting dalam pertumbuhan tanaman. Tanah yang peroi dan berongga lebih sesuai untuk tanaman berbanding tanah yang keras dan mampat.

Jenis tanah boleh dikenalpasti melalui komposisinya

Menanam Di Atas Tanah

Walaupun jenis tanah mempengaruhi kesesuaiannya dengan sesuatu tanaman, tanah boleh diubahsuai mengikut keperluan tanaman. Walaupun begitu, jika anda hendak menanam di atas tanah pokok yang mempunyai sistem akar yang besar tidak digalakkan untuk menggantikan atau mengubahsuai tanah tempat di mana pokok tersebut akan ditanam. Ini disebabkan perbezaan tanah yang ditukar dan tanah yang asal disekelilingnya boleh menjejaskan pertumbuhan akar dalam jangka masa panjang. Maka, jika anda hendak menanam pokok yang akarnya boleh menjalar jauh pastikan tanahnya bersesuaian dengan tanaman tersebut.

Tanah yang asal perlulah digunakan untuk menanam pokok jangka masa panjang supaya pertumbuhan akar tak terganggu

Bagi tanaman jangka masa pendek seperti pokok sayuran atau pokok yang tidak mempunyai sistem akar yang besar atau tidak tumbuh secara natif di suatu kawasan, tanah di mana tanaman itu akan ditanam boleh diperbaiki jika perlu untuk mendapatkan pertumbuhan terbaik. Bagi pokok sayuran, ia biasanya ditanam di atas batas dan jika tanah yang sedia ada terlalu liat atau terlalu poros, batas yang hendak disediakan boleh dicampur dengan bahan-bahan yang boleh menjadikannya lebih sesuai.

Tanaman sayuran tidak mempunyai sistem akar yang besar jadi tiada isu apabila tanah diubahsuai

Menanam Di Dalam Pasu

Untuk menanam di dalam bekas tanaman seperti pasu pula, sebaiknya gunakan tanah campuran untuk tanaman. Tanah campuran ini biasanya ialah tanah merah yang dicampurkan dengan pelbagai bahan untuk menjadikannya lebih sesuai bagi pelbagai tanaman. Tanah campuran tanaman juga boleh dibuat sendiri dengan menggunakan tanah yang sedia ada dan bahagian di bawah akan menunjukkan bahan-bahan yang boleh digunakan untuk menghasilkannya. Anda juga boleh mendapatkan tanah campuran untuk tanaman di Kebuna.

Pengaliran & Pemegangan

Seperti yang disebut di atas, satu aspek penting tanah bagi tanaman ialah strukturnya. Tanah yang peroi dan berongga dapat mengalirkan air dan nutrien dengan mudah serta mempunyai pengudaraan tanah yang baik. Akar juga dapat tumbuh dengan lebih mudah yang menjadikan sistem akar lebih kuat dan sihat. Selain struktur, bahan-bahan yang membentuk tanah tersebut perlulah bersesuaian untuk memastikan ianya juga boleh memegang air dan nutrien dengan baik.

Siram pokok
Satu aspek tanah yang baik adalah pengaliran yang baik

Bahan yang boleh digunakan untuk memperbaiki struktur tanah ialah bahan-bahan organik seperti kompos, sabut kelapa atau cocopeat, dan sekam padi. Antara bahan-bahan tersebut, cocopeat paling mudah untuk didapati kerana ia digunakan secara meluas dalam penanaman. Cocopeat juga amat sesuai digunakan sebagai bahan campuran tanah kerana ia boleh memperbaiki pengaliran pada masa yang sama ia mempunyai kadar pemegangan air dan nutrien yang tinggi.

Cocopeat amat sesuai digunakan untuk membuat campuran tanah tanaman

Selain bahan-bahan organik, terdapat juga bahan dari batu mineral seperti perlite dan vermiculite yang boleh digunakan untuk memperbaiki struktur tanah. Kebiasaannya bahan-bahan ini lebih mahal berbanding bahan-bahan organik yang disebut di atas maka jarang digunakan untuk campuran tanah. Pasir kerap disyorkan sebagai bahan untuk campuran tanah tetapi penggunaannya adalah tidak digalakkan kerana ia boleh menyebabkan tanah menjadi keras dan mampat.

Pasir di dalam campuran tanah boleh menyebabkan ia menjadi keras dan mampat

Nutrien & Mikrob

Tanah secara semulajadinya mengandungi pelbagai nutrien untuk tanaman tetapi kandungannya mungkin tidak mencukupi untuk pertumbuhan tanaman. Untuk campuran tanah, baja organik biasanya digunakan bagi menambah kandungan nutrien di dalam tanah. Baja organik boleh berasaskan dari sumber tumbuhan atau tinja haiwan ternakan. Adalah penting jika menggunakan baja organik dari tinja haiwan ternakan untuk menggunakan tinja yang sudah diproses bagi memastikan tiada patogen dan kandungan nitrogen yang bersesuaian.

Kompos sawit antara baja yang boleh digunakan di dalam campuran tanah

Kandungan baja di dalam tanah campuran tidak perlu tinggi kerana pokok boleh diberi baja selepas ditanam tidak seperti mengubah tekstur tanah, di mana ia perlu dilakukan sebelum pokok ditanam. Walaupun begitu, pembajaan dengan menggunakan baja organik juga dapat memperbaiki dan menjaga kualiti tanah. Walaupun terdapat juga baja sintetik yang boleh digunakan dalam campuran tanah tetapi baja organik lebih sesuai kerana ianya tidak mudah larut air jadi tahan lebih lama di dalam tanah dan mempunyai manfaat lain selain membekal nutrien.

Baja sintetik kurang sesuai digunakan di dalam campuran tanah

Satu manfaat menggunakan baja organik adalah ia mengandungi mikrob yang bermanfaat untuk tanah serta tanaman. Mikrob ialah hidupan mikroskopik seperti bakteria, fungi, dan alga. Terdapat pelbagai jenis mikrob bermanfaat yang boleh wujud di dalam tanah yang memberi pelbagai manfaat. Antara manfaatnya adalah menguraikan bahan organik, membekal nutrien, melawan perosak, dan pelbagai lagi. Secara ringkas ia boleh membantu meningkatkan dan menjaga kesuburan tanah serta kesihatan tanaman.

Antara manfaat mikrob adalah dalam membekalkan nitrogen untuk tanaman

pH

Tanaman memerlukan tahap pH tanah yang sesuai supaya ia dapat menyerap nutrien yang diperlukan. pH tanah adalah ukuran keasidan atau kealkalian tanah dan bacaannya boleh didapati dengan menggunakan pH meter. Tahap pH tanah yang optimum bagi kebanyakan tanaman adalah antara 5.5 dan 6.5 iaitu sedikit berasid. Jika terdapat isu pH selalunya nilainya adalah bawah nilai optimum iaitu berasid tinggi dan ia boleh dirawat dengan menggunakan kapur pertanian. Kapur juga boleh digunakan di dalam campuran tanah bagi meningkatkan nilai pH tanah.

pH tanah yang optimum memastikan tanaman mendapat semua nutrien yang diperlukan

Bahan-Bahan

Terdapat pelbagai bahan yang boleh digunakan untuk membuat campuran tanah. Di sini kami berikan senarai bahan yang kami sendiri gunakan untuk membuat campuran tanah di nurseri kami dan fungsinya di dalam campuran tersebut. Anda juga boleh mendapatkan kebanyakan bahan ini di kedai kami.

Tanah Merah

Jenis tanah ini adalah mudah untuk didapati dan ianya juga jenis tanah yang biasa terdapat di kawasan perumahan. Ia biasanya warna kemerahan dan agak liat apabila lembap. Tanah merah juga dipanggil topsoil di pasaran. Tanah merah sahaja kurang sesuai digunakan di dalam pasu kerana mempunyai pengairan yang kurang baik dan berat tetapi boleh diperbaiki dengan bahan-bahan yang akan disebut di bawah. Tanah jenis lain juga boleh digunakan tetapi kadar campuran bahan-bahan yang akan digunakan mungkin berlainan.

Tanah merah mudah untuk didapati

Cocopeat

Sabut kelapa atau cocopeat merupakan media tanaman yang biasa digunakan dalam penanaman secara fertigasi. Ia mudah untuk didapati dan amat sesuai digunakan dalam campuran tanah kerana ia boleh memperbaiki pengaliran pada masa yang sama berupaya memegang air dan nutrien dengan baik. Cocopeat dijual sama ada di dalam bentuk blok ataupun di dalam guni. Kedua-duanya boleh digunakan tetapi cocopeat dalam bentuk blok perlu direndam di dalam air sebelum boleh digunakan dan sukar untuk membuat campuran tanah yang sebati apabila bahan campuran terlalu basah.

Sekam padi

Fungsi utama sekam padi dalam campuran tanah adalah untuk menjadikannya lebih ringan dan peroi. Ini membantu pengaliran air dan nutrien yang baik serta meningkatkan pengudaraan dalam tanah. Ia boleh didapati dalam dua bentuk iaitu mentah dan bakar. Kos sekam padi mentah adalah lebih rendah tetapi kelebihan sekam padi bakar adalah ianya steril dan luas permukaannya yang tinggi membantu memegang nutrien dan menjadi habitat untuk mikrob bermanfaat. Jika menggunakan sekam padi bakar digalakkan menggunakan sekam padi bakar kasar yang tidak hancur.

Baja Tinja Haiwan Ternakan Diproses

Tinja haiwan ternakan sesuai digunakan dalam campuran tanah kerana ia kaya dengan nutrien. Penting untuk menggunakan hanya tinja haiwan dari binatang ternakan seperti ayam, lembu, dan kambing serta tinja tersebut perlulah diproses atau dikompos terlebih dahulu sebelum digunakan bagi membunuh patogen dan menjadikannya lebih sesuai untuk digunakan. Tinja haiwan ternakan yang telah melalui proses pengomposan juga kaya dengan mikrob yang bermanfaat untuk tanah dan tanaman. Digalakkan menggunakan baja dalam bentuk serbuk supaya mudah sebati dalam tanah.

Baja Kompos Sawit

Tanah sawit adalah sejenis baja organik yang dihasilkan daripada campuran sisa sawit, tandan sawit, dan kulit sawit. Seperti baja tinja yang diproses ianya juga telah melalui proses pengomposan, mengandungi mikrob bermanfaat, tinggi dengan bahan organik, dan mengandungi nutrien untuk tanaman. Kandungan nutriennya hampir sama apabila dibandingkan dengan baja dari tinja haiwan ternakan dan kosnya yang agak rendah menjadikannya pilihan baja yang sesuai untuk digunakan di dalam campuran tanah.

Campuran

Kadar campuran setiap bahan yang ditunjukkan di atas adalah seperti di bawah. Campuran tanah ini sesuai digunakan di dalam pasu kerana mempunyai pengairan yang amat baik. Kandungan baja di dalamnya mencukupi untuk pertumbuhan awal tanaman dan boleh ditambah lagi jika inginkan bekalan baja yang lebih lama. Kami sendiri menggunakan campuran di bawah dan tanaman menunjukkan pertumbuhan yang baik serta kurang diserang oleh perosak. Ukuran isipadu digunakan untuk membuat tanah campuran di bawah.

1 Bahagian Tanah Merah

1 Bahagian Cocopeat

1 Bahagian Sekam Mentah

1 Bahagian Sekam Bakar

1/3 Bahagian Baja Kompos Sawit

1/9 Bahagian Baja Bio-Organik

Anak benih betik ditanam menggunakan campuran tanah di atas

Campuran di atas mungkin sukar untuk dibuat kerana sesetengah bahan yang digunakan tidak mudah untuk didapati. Anda juga boleh membuat tanah campuran tanaman dengan hanya menggunakan tanah merah, cocopeat, dan kompos. Campuran ketiga-tiga bahan ini adalah seperti di bawah.

1 Bahagian Tanah Merah

1 Bahagian Cocopeat

1/5 Bahagian Kompos atau Tinja Haiwan Diproses

Share this post


LIHAT PRODUK
Operasi Sewaktu COVID-19