Kedai Kebun dan Nurseri Putrajaya

Cara Mendapatkan Ukuran Penuh Polybag

Cara Mendapatkan Ukuran Penuh Polybag

Polybag atau polibeg yang digunakan untuk menanam tanaman terdapat dalam pelbagai saiz seperti 8×8, 10×12, dan 16×16 tetapi nombor ini tidak memberitahu cara bagaimana ukuran dibuat dan unit yang digunakan. Bagi yang lama telah berkebun kemungkinan telah tahu saiz apa yang sesuai untuk kegunaan tertentu tetapi bagi yang baru ingin bermula berkebun nombor ini cuma memberitahu nombor yang lebih besar bermaksud saiz lebih besar tanpa memberi gambaran yang jelas berapa besar sebenarnya.

Sukar untuk mendapatkan gambaran besar polybag

Sebagai perbandingan, ukuran pasu biasanya diberikan dalam bacaan diameter dan tinggi yang jelas menggambarkan berapa besar pasu tersebut. Dengan melihat sahaja tanpa mengambil ukuran pun boleh menganggar ukurannya. Polybag pula dilipat leper dan hanya boleh memberikan bacaan diameter dan tinggi dengan betul apabila telah diisi dengan tanah kerana nilai saiz polybag tidak memberi maklumat ini tetapi anggaran yang agak tepat boleh didapati dengan beberapa pengiraan.

Pasu lebih mudah untuk diukur berbanding polybag

Artikel ini akan menjelaskan apa yang dimaksudkan dengan nombor saiz polybag seperti 8×8 dan 10×12 serta cara pengiraan untuk mendapatkan anggaran ukuran diameter, tinggi dan isipadu polybag yang diisi penuh dengan tanah. Cara pengiraan ini juga digunakan untuk membuat Jadual Ukuran Polybag serta Kalkulator Ukuran Polybag di bawah.

Klik gambar di atas untuk mendapat fail PDF Jadual Ukuran Polybag

Maksud Nombor Saiz

Saiz polybag seperti 10×12 bermaksud ia mempunyai ukuran lebar 10 inci dan panjang 12 inci. Cara ukuran ini diambil boleh dilihat dalam gambar di bawah.

Saiz polybag 5×5

Mendapatkan Ukuran Penuh

Ukuran seperti yang diberikan di atas mengukur saiz polibeg dalam keadaan leper maka ia tidak memberitahu ukuran diameter dan tinggi setelah diisi tanah. Cara yang paling mudah adalah dengan mengisi polybag penuh dengan tanah kemudian ukur diameter dan tinggi, dari dua ukuran ini isipadu polybag pula boleh dikira. Walaupun mudah, disebabkan polybag tidak rigid maka sukar untuk mendapatkan bacaan yang konsisten.

Kami mengambil ukuran beberapa saiz polybag untuk membandingkan nilai antara ukuran dari pengiraan

Satu lagi cara untuk mendapatkan ukuran polybag yang diisi penuh adalah melalui pengiraan. Terdapat beberapa andaian yang perlu dibuat untuk mendapatkan formula yang ringkas tetapi apabila membandingkan bacaan dari pengukuran dengan pengiraan, perbezaan hanyalah sedikit kecuali bagi beberapa nilai isipadu yang akan diterangkan di bawah. Berikut adalah andaian tersebut.

  • Nilai saiz polybag yang diberikan adalah tepat
  • Polybag mempunyai bentuk silinder kecuali tapak polybag
  • Tapak polybag berbentuk segi empat sama
  • Polybag berbentuk silinder sepenuhnya untuk pengiraan isipadu
  • Bahagian bawah polybag yang dikedap mempunyai panjang 1cm
  • Polybag tidak meregang

Sedikit perbezaan antara ukuran dan kiraan kecuali bagi nilai isipadu polybag saiz kecil dan besar. Pengiraan yang dibuat di sini menggunakan nila sebenar lebar dan panjang polybag.

Diameter & Tinggi

Objek yang berbentuk silinder mempunyai permukaan bulat dan diameter bulatan ini boleh dikira dengan mengetahui ukurlilit bulatan tersebut. Ukurlilit polybag adalah sama dengan dua kali ukuran saiz lebar polybag. Untuk polybag 10×12, pengiraan diameter adalah seperti di bawah (darab 2.54 untuk mendapatkan nilai dalam cm):

Diameter = Lebar x 2 x 2.54 ÷ π

Diameter = 10 x 2 x 2.54 ÷ π = 16.2cm

Untuk mengira tinggi polybag pula perlu mengambil kira tapak polybag. Jumlah panjang setiap sisi tapak segi empat polybag adalah sama dengan nilai ukurlilit di atas. Bahagian bawah polibeg yang dikedap perlu diambil kira kerana ia sebahagian daripada ukuran panjang polybag. Cara pengiraan tinggi polybag 10×12 adalah seperti di bawah

Tinggi = (Panjang – (Lebar ÷ 4)) x 2.54 – 1

Tinggi = (12 – (10 ÷ 4)) x 2.54 – 1 = 23.1cm

Isipadu

Melihat pada nilai isipadu dari ukuran dan kiraan, julat perbezaan adalah bergantung pada saiz polybag. Satu sebab adalah kerana polybag tidak sepenuhya berbentuk silinder apabila diisi tanah, bentuknya adalah antara kiub dan silinder di mana isipadu kiub adalah lebih rendah. Polybag yang saiz sederhana besar seperti 12×12 dan 14×14 mempunyai ukurlilit yang cukup besar dan ketebalan yang cukup nipis untuk menjadikan bentuknya menghampiri silinder apabila diisi dengan tanah.

Lagi satu kesimpulan yang boleh dibuat, nilai isipadu dari pengiraan adalah nilai maksimum isipadu disebabkan nilai dari pengiraan tidak melebihi nilai dari ukuran. Tambahan lagi, bagi objek yang mempunyai ukurlilit dan tinggi yang tertentu, bentuk silinder yang akan memberikan isipadu tertinggi. Dengan nilai diameter dan tinggi di atas, isipadu maksimum polybag 10×12 boleh dikira dengan menggunakan formula di bawah.

Isipadu = (Diameter ÷ 2)^2 x π x Tinggi ÷ 1000

Isipadu = (16.2 ÷ 2)^2 x π x 23.2 ÷ 1000 = 4.7L

Cara pengiraan yang ditunjukkan di atas tidaklah sukar dan boleh memberikan nilai yang amat hampir dengan nilai sebenar terutamanya bagi nilai diameter dan tinggi. Disebabkan saiz polybag yang pelbagai, jadual ukuran polybag di atas adalah tidak praktikal dibuat tanpa menggunakan pengiraan. Kami berharap maklumat ini boleh membantu untuk memilih polybag yang sesuai bagi tanaman anda.

Share this post


LIHAT PRODUK
BROWSE PRODUCTS
CARA ORDER
DELIVERY SERVICE