Apakah Tanaman Hibrid?

Apakah Tanaman Hibrid?

Di dalam satu spesis tanaman terdapat pelbagai varieti yang berbeza dari segi bentuk tanaman dan hasil, kadar pertumbuhan dan pengeluaran hasil serta banyak lagi. Sebagai contoh, tanaman cili mempunyai pelbagai jenis varieti seperti cili kulai, cili padi, dan cili api. Dari perspektif pengguna perbezaan yang jelas adalah rasa, warna dan bentuk hasil tetapi bagi penanam terdapat pelbagai ciri-ciri lain lagi yang memainkan peranan di dalam pemilihan varieti tanaman untuk pengeluaran hasil. Antaranya adalah, produktif, tahan penyakit, cepat mengeluarkan hasil, dan lain-lain.

Semua ciri-ciri tanaman yang disebut di atas tidak semestinya ada pada sesuatu tanaman. Sebagai contoh, satu varieti tanaman, V1 mungkin mengeluarkan banyak hasil tetapi mempunyai rasa yang tidak memuaskan dan satu varieti lagi, V2 mungkin pula mengeluarkan hasil yang sedikit tetapi mempunyai rasa yang lebih baik. Hibridisasi adalah proses pembiakan silang dua varieti tanaman yang berlainan untuk menghasilkan tanaman yang mempunyai ciri-ciri yang dikehendaki daripada dua varieti tersebut. Menyambung dari contoh yang di atas, penyilangan antara V1 dan V2 mungkin akan menghasilkan varieti tanaman yang mengeluarkan hasil yang banyak serta mempunyai rasa yang memuaskan. Tanaman yang terhasil ini adalah dipanggil tanaman hibrid.

Contoh pembiakan silang antara dua varieti tanaman kacang dan hibrid yang terhasil. Penerangan lanjut terdapat di dalam video di bawah.

Tanaman hibrid kebiasaannya adalah penyilangan di antara dua tanaman ‘true-breed’. Tanaman ‘true-breed’ adalah tanaman di mana generasi seterusnya mempunyai ciri-ciri yang sama apabila ianya ‘self fertilize’. Ramai yang biasa mendengar istilah tanaman hibrid F1 dan ia bermaksud tanaman yang terhasil dari penyilangan dua tanaman ‘true-breed’. Tanaman yang terhasil daripada biji benih yang dikeluarkan oleh tanaman F1 pula dipanggil tanaman F2. Disebabkan tanaman hibrid adalah bukan jenis ‘true-breed’ maka tanaman yang terhasil daripada biji benihnya akan mempunyai ciri-ciri yang berlainan. Oleh itu, biji benih daripada tanaman hibrid adalah tidak sesuai untuk digunakan. Anda boleh mengetahui dengan lebih lanjut bagaimana pewarisan ciri-ciri tanaman berfungsi dengan menonton video di bawah.

Pendebungaan antara dua varieti tanaman untuk mendapatkan biji benih hibrid dilakukan secara manual seperti yang ditunjukkan di dalam gambar di atas. Video di bawah menunjukkan dengan lebih lanjut cara penghasilan biji benih tomato hibrid.

Varieti hibrid atau bukan ‘true-breed’ hanya boleh dibiak melalui dua cara iaitu dengan cara pembiakan silang antara dua varieti ‘true-breed’ dan secara klon. Cara yang pertama telah diterangkan di atas dan klon pula adalah di mana tanaman yang terhasil secara genetiknya adalah sama seperti tanaman induk atau dengan kata lain mempunyai ciri-ciri yang sama. Salah satu cara mengklon tanaman yang kerap digunakan adalah menyemai daripada keratan dan ini termasuk jugalah pembiakan secara tut dan cantuman baji. Kebanyakan pokok buah-buahan dibiak melalui cara klon dan cantuman baji kerana biji benih yang terhasil tidak akan menghasilkan pokok yang ‘true-to-type’ atau sama seperti pokok asal.

Biji benih durian yang disemai bertujuan untuk dijadikan pokok penanti untuk cantuman baji.

Kami berharap artikel ini adalah bermanfaat dan boleh membantu di dalam aktiviti berkebun anda. Jika anda mempunyai sebarang persoalan atau maklum balas sila gunakan ruang komen di bawah.

Share this post

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *