Mengumpul dan Berkongsi Pengalaman Penanaman Secara Komersial
Tidak kira membuat apa pun, ilmu yang betul adalah penting untuk mendapatkan hasil yang terbaik. Sekarang tidak sukar untuk mencari pelbagai jenis ilmu tidak kira dalam apa bidang pun dengan adanya kemudahan internet. Ramai yang berkongsi ilmu secara terbuka dan mudah untuk diakses di pelbagai platform. Ilmu penanaman yang luas pun banyak yang boleh didapati di pelbagai halaman dalam internet. Anda pun boleh mendapatkan eBook penanaman setebal lebih 400 muka surat yang diberikan oleh penerbitnya secara percuma.
Walaubagaimanapun, bukan sahaja ilmu yang betul diperlukan dalam mendapatkan hasil yang terbaik malah pengalaman juga memainkan peranan yang penting. Pengalaman memberikan pengetahuan dalam mempraktikkan ilmu yang ada dengan betul. Selain daripada itu, pengalaman juga melatih diri dengan disiplin, rutin, dan teknik yang diperlukan dalam membuat sesuatu perkara. Tidak seperti ilmu yang boleh dipelajari melalui penglihatan atau pendengaran, pengalaman hanya boleh diperolehi melalui praktis yang berterusan dalam situasi yang tertentu. Namun, kita masih boleh belajar dari pengalaman orang lain.
Sama seperti dalam perkara-perkara yang lain juga, sesiapa yang baru bermula menanam kebiasaannya tidak akan mendapat hasil yang diinginkan pada awalnya. Bagi yang menanam secara hobi atau sebagai rekreasi ini adalah perkara biasa tetapi bagi yang membuat penanaman secara komersial boleh terdapat banyak kerugian yang perlu ditanggung apabila tanaman tidak menjadi. Sebagai seorang yang mengusahakan perniagaan selama lima tahun, saya faham dengan rasa susah payah apabila usaha tidak mendatangkan keuntungan malah kerugian pula secara kewangan.
Saya sekarang sedang mengusahakan untuk memudahkan lagi akses kepada ilmu pertanian terutamanya penanaman bagi menggalakkan lebih ramai orang terlibat dalam penanaman dan menggalakkan cara penanaman yang lebih selamat untuk kesihatan. Ini adalah kerana negara Malaysia terlalu bergantung berat pada import makanan serta input pertanian dan penggunaan racun perosak dalam penanaman adalah tinggi dalam negara ini. Antara usaha yang telah bermula adalah penulisan artikel penanaman dalam blog Kebuna, glosari penanaman, dan repositori untuk pelbagai ilmu pertanian di Kebuna Share.
Walaupun begitu, seperti disebut di atas, ilmu yang betul hanyalah salah satu faktor kejayaan. Apa yang saya akan cuba usahakan lagi buat masa ini adalah untuk mendapatkan pengalaman dalam penghasilan makanan seperti sayuran secara komersial dan kongsikannya di sini. Walaupun pengalaman hanya boleh didapati melalui praktis tetapi saya ingin mencuba ‘memindahkan’ pengalaman saya kepada orang lain melalui penulisan ataupun video. Satu cara yang saya rasa berkesan untuk melakukan perkara ini adalah dengan membuat jurnal yang merekodkan dengan jelas dan terperinci secara kronologi aktiviti-aktiviti yang dibuat di tempat penanaman komersial.
Sewaktu artikel ini ditulis, saya diberi peluang untuk membantu menguruskan kebun fertigasi oleh salah seorang guru saya dalam perniagaan dalam penanaman iaitu Encik Fahmie Abu Bakar dari Urban Tani yang telah lebih 10 tahun terlibat dengan penanaman secara komersial. Beliau telah memberikan kebenaran untuk berkongsi segala pengalaman saya di kebun beliau, jadi saya berharap untuk menggunakan peluang ini dengan sebaiknya untuk merekodkan aktiviti-aktiviti di sana dan menghasilkan penulisan serta video yang boleh membantu orang lain untuk mendapat manfaat dari pengalaman yang saya kumpulkan.
Selain daripada menghasilkan jurnal, dalam waktu yang sama juga saya boleh menghasilkan penulisan-penulisan lain dari ilmu dan pengalaman yang saya dapat di sana. Walaupun sudah banyak ilmu berkaitan penanaman di dalam internet tetapi kebanyakannya di dalam Bahasa Inggeris dan saya rasakan banyak manfaatnya jika sumber ilmu penanaman di dalam Bahasa Melayu berkembang lagi.
Ini adalah langkah pertama dalam saya mencuba perkongsian sebegini melalui pengalaman yang saya dapatkan dari tempat pengusaha lain. Jika ianya berkesan saya bercadang untuk mencari dan berkongsi pengalaman di tempat-tempat penanaman komersial yang lain juga terutamanya yang mengamalkan penanaman lestari alam. Saya harap usaha ini berkesan dalam membawa manfaat dan saya diberikan keupayaan untuk meneruskannya.