Minggu-2 Jurnal Kebun Fertigasi Komersial Di Kawasan Bandar @ Urban Tani
Catatan jurnal minggu ini tidak sepanjang seperti minggu pertama yang mengandungi lebih banyak penerangan dan penjelasan bagi setiap aktiviti yang dilakukan. Catatan jurnal minggu pertama boleh dapatkan di bawah.
Catatan untuk minggu ini bermula pada 07/03/2022 atau hari-8 tetapi untuk hari-8 saya tidak dapat hadir dan hari-9 saya hanya boleh datang waktu petang dan sebentar sahaja. Untuk mengisi ruang jurnal minggu ini saya akan kongsikan perkara-perkara dari minggu lepas tetapi tidak dimasukkan ke dalam jurnal sebelum ini. Salah satunya adalah perancangan dan pengurusan kerja. Pada setiap hari, Joe akan menyediakan senarai kerja yang perlu dibuat pada hari tersebut. Ini memastikan pelajar-pelajar praktikal mengetahui dengan spesifik kerja-kerja yang mereka perlu buat pada hari tersebut dan ini memastikan kerja sentiasa berjalan. Joe juga ada membuat senarai semua perkara yang perlu dibuat dari awal sehinggalah kebun mula beroperasi supaya setiap perkembangan boleh dicatat dan perancangan untuk kerja seterusnya mudah untuk dibuat.
Dalam jurnal sebelum ini saya ada sebutkan tentang pengiraan perbelanjaan serta untung rugi dan saya nak terangkan lebih lanjut di sini. Perbelanjaan terbahagi kepada dua komponen iaitu perbelanjaan modal dan perbelanjaan operasi. Slide dari kementerian kewangan ini menjelaskan perkara ini https://account.moh.gov.my/v4/upload/akruan/3.pdf. Seperti yang diterangkan dalam slide tersebut, perbelanjaan modal adalah untuk aset jangka masa panjang seperti bangunan atau kenderaan maka dalam konteks kebun ini ianya perbelanjaan untuk antaranya infrastruktur seperti pump house, sistem fertigasi, weedmat, pagar dan sebagainya. Perbelanjaan operasi kebun pula ialah belanja yang terlibat dengan operasi harian seperti upah kerja, kos baja, media, benih, api air dan sebagainya. Dalam penanaman kebiasaannya perbelanjaan operasi ini dikira untuk setiap musim penanaman supaya boleh membuat pengiraan untung rugi dengan jumlah hasil semusim.
Banyak lagi yang boleh boleh disebut berkaitan perkara-perkara di atas tetapi sekurang-kurangnya ia memberi sedikit gambaran akan perkara-perkara yang terlibat dalam menjalankan penanaman secara komersial.
Hari-10 (09/03/2022)
Saya diberitahu Joe dijangkiti covid, moga dia sembuh tanpa ada sebarang kesukaran. Encik Fahmie baru pulang ke semenanjung setelah berada di cawangan Urban Tani Sabah selama lebih kurang 2 minggu dan ada melawat sebentar kebun ini. Disebabkan Joe tidak boleh berkerja untuk masa ini maka beliau memberikan tanggungjawab yang lebih kepada saya dalam pengurusan kerja-kerja di kebun. Dalam masa terdekat ini, kami akan siapkan dahulu pemasangan bumbung pump house, pengisian cocopeat ke dalam polybag dan pemasangan weedmat. Disebabkan pump house telah mempunyai bumbung jadi kami juga ada memindahkan barangan di bawah khemah ke dalam kawasan pump house untuk sementara dan khemah digunakan di tempat pengisian cocopeat.
Hari-11 (10/03/2022)
Saya hanya boleh berada di kebun tidak sampai 2 jam pada hari ini disebabkan perlu menguruskan hal perniagaan Kebuna. Pada waktu saya ada di sana kerja yang dibuat adalah menyiapkan bumbung pump house dan membuat jalan masuk ke belakang pump house disebabkan terdapat pembinaan di bahagian jalan masuk sebelum ini. Sebelum saya meninggalkan kebun, pelajar praktikal menyambung kerja mengisi cocopeat ke dalam polibeg. Di dalam video sebelum ini, saya ada menyebutkan bahawa kandungan garam di dalam cocopeat adalah tinggi dan sebaiknya dibuatkan flushing untuk membuang garam tersebut terlebih dahulu sebelum dimasukkan tanaman. Ini adalah antara perkara-perkara yang anda perlu tahu apabila menggunakan cocopeat sebagai media tanaman dan maklumat lanjut berkaitan cocopeat terdapat dalam artikel di bawah.
Hari-12 (11/03/2022)
Tidak ada kerja dibuat di sebelah pagi disebabkan pihak Urban Tani mempunyai urusan di tempat lain dan pelajar-pelajar praktikal juga terlibat di sana. Saya pun datang sebentar sahaja. Dalam video sebelum ini saya ada sebutkan pintu masuk di tempat lain tetapi disebabkan jauh dari pump house maka pintu akan dibuat di belakang pump house. Ini akan memudahkan akses untuk membawa masuk barangan yang akan diletakkan dan disimpan di pump house.
Hari-13 & Hari-14 (12-13/03/2022)
Saya tidak dapat hadir pada kedua-dua hari ini. Perkembangan dari hari-12 hingga hari-14 boleh dilihat dalam jurnal minggu hadapan.