Kedai Kebun Dan Pertanian Putrajaya

Perkara Penting Mengenai Cocopeat

Perkara Penting Mengenai Cocopeat

Cocopeat atau sabut kelapa kerap digunakan dalam penanaman terutamanya penanaman sayur-sayuran secara komersil. Terdapat beberapa ciri yang menjadikannya media yang utama dalam penanaman komersil antaranya adalah ia mempunyai kos yang rendah, mudah didapati, bebas dari penyakit tanah, memegang air dengan baik, ringan dan pelbagai lagi. Aspek-aspek ini juga menjadikannya alternatif utama kepada tanah bagi penanam-penanam hobi. Namun, terdapat beberapa perkara penting yang anda perlu tahu jika ingin mendapatkan pertumbuhan tanaman yang terbaik apabila menggunakan cocopeat.

Cocopeat media utama apabila menggunakan sistem fertigasi untuk pengairan dan pembajaan.

Kandungan Garam yang Tinggi

Cocopeat boleh mempunyai kandungan garam sodium chloride yang tinggi. Ianya boleh menyebabkan pelbagai masalah untuk tanaman seperti membantutkan pertumbuhan dan menjejaskan kesihatan. Namun, masalah ini mudah untuk diselesaikan dengan dengan membasuh media cocopeat (‘flushing’) sebelum digunakan untuk melarutkan garam dan menariknya keluar. Sebelum menanam, letakkan cocopeat di dalam bekas tanaman dan siram dengan air sehingga basah sepenuhnya untuk mengurangkan kandungan garam di dalam cocopeat. Alternatif yang lebih mudah adalah dengan menyediakan bekas dan tempat tanaman 1-2 minggu sebelum menanam dan biar hujan lakukan ‘flushing’ tersebut.

Kesan kandungan garam yang tinggi di dalam tanah terhadap tanaman.

Kandungan Nutrien Rendah

Apabila menggunakan media cocopeat, pembajaan perlu dibuat dari awal penanaman disebabkan kandungan nutrien di dalamnya adalah rendah. Kebiasaanya baja larut air seperti baja AB digunakan untuk tanaman yang menggunakan cocopeat. Kelebihan baja larut air berbanding kebanyakan baja granul adalah ianya mengandungi kesemua nutrien yang tanaman perlukan. Untuk mendapatkan pertumbuhan yang terbaik, gunakan air larutan baja setiap kali siraman tetapi pastikan kepekatan adalah bersesuaian. Baja larut air adalah baja sintetik dan jika anda ingin menanam secara organik digalakkan menggunakan tanah campuran yang lebih sesuai dengan baja organik berbanding cocopeat.

Gunakan baja larut air apabila menggunakan media cocopeat.

Mengikat Kalsium dan Magnesium

Medium organik seperti cocopeat mempunyai caj-caj negatif pada permukaannya yang menarik ion-ion positif. Nutrien diambil oleh tanaman di dalam bentuk ion dan setiap nutrien mempunyai nilai caj yang tertentu. Ion kalsium dan magnesium lebih kuat tertarik berbanding ion positif lain kepada caj negatif pada cocopeat yang menyebabkan nutrien ini terikat dan tanaman tidak boleh mendapatkannya. Ini boleh menyebabkan tanaman tidak mendapat kalsium dan magnesium yang mencukupi. Anda boleh mengenali sama ada tanaman anda kurang nutrien kalsium atau magnesium serta nutrien lain dari warna daun.

Kekurangan nutrien dalam tanaman boleh dikesan melalui bentuk dan warna daun.

Cara untuk mengatasi isu ini adalah dengan meningkatkan nutrien kalsium dan magnesium di dalam larutan baja. Kalsium boleh dibekalkan dengan calcium nitrate dan magnesium boleh dibekalkan dengan magnesium sulfate atau epsom salt. Untuk setiap 10l air baja tambah 8g calcium nitrate dan 6g magnesium sulfate dan siram seperti biasa. Nutrien tambahan diperlukan pada awal penanaman sahaja (2-4 minggu) kerana lama-kelamaan lokasi-lokasi caj negatif medium cocopeat akan tepu dengan calcium dan magnesium dan nutrien. Nutrien tambahan ini sebaiknya diberikan dari awal lagi kerana kesan kekurangan kalsium terhadap daun tidak hilang jika diberikan selepas kekurangan dikesan kerana nutrien ini adalah ‘immobile’ di dalam tanaman.

Sesetengah nutrien jika kurang akan memberi kesan kepada daun yang tua dan sesetengah lagi kepada daun yang muda.

Jika anda mempunyai sebarang persoalan atau maklum balas sila tuliskan di ruang komen di bawah.

Share this post

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *


LIHAT PRODUK