Kedai Kebun dan Nurseri Putrajaya

Cara Menggunakan Cocopeat Sebagai Media Semaian

Cara Menggunakan Cocopeat Sebagai Media Semaian

Salah satu aktiviti berkebun yang perlukan penjagaan yang kerap dan teliti adalah menjaga semaian sama ada daripada biji benih atau keratan. Sebagai contoh, air perlulah dipastikan sentiasa mencukupi terutamanya pada peringkat awal kerana semaian mudah untuk tak menjadi jika kekurangan air.

Keperluan cahaya juga berbeza mengikut peringkat pertumbuhan tanaman. Di peringkat percambahan biji benih, semaian boleh diletakkan di tempat yang redup untuk mengurangkan pemeruapan air tetapi jika sudah bercambah perlu diubah ke tempat yang lebih cerah.

Cahaya perlu dipastikan mencukupi setelah semaian bercambah

Memilih Media Yang Sesuai

Pemilihan media juga adalah penting dan ia bergantung pada jenis tanaman. Bagi tanaman yang mudah untuk bercambah dan cepat membesar seperti bayam dan bendi boleh sahaja terus disemai biji benihnya di atas tanah, cuma perlu pastikan dahulu tanah yang digunakan adalah sesuai untuk tanaman. 

Semaian tanaman seperti di atas adalah mudah untuk dijaga dan banyak tidak perlu dilindungi daripada cahaya matahari apabila telah disemai. Walaubagaimanapun, penjagaan air masih lagi penting untuk memastikan biji benih bercambah dengan baik terutamanya pada hari yang panas dan terik.

Kangkung antara tanaman yang boleh ditanam secara tabur terus

Bagi tanaman yang mengambil masa lebih panjang untuk bercambah dan membesar seperti sayuran buah pula, pemilihan media yang sesuai adalah lebih penting. Walaupun tanah boleh digunakan untuk membuat media semaian, tanah boleh mengandungi patogen yang boleh menyebabkan penyakit. Tambahan lagi, tanaman pada peringkat awal pertumbuhan adalah lebih sensitif terhadap penyakit.

Tanah juga boleh mengandungi benih rumpai yang boleh mengganggu pertumbuhan semaian dan biasanya perlu dicampur dengan bahan-bahan yang boleh menjadikannya lebih ringan serta meningkatkan pengudaraan.

Fusarium oxysporum, antara patogen yang boleh terdapat di dalam tanah

Peat Moss & Pemanasan Global

Media yang kerap digunakan untuk semai biji benih sayuran buah ialah peat moss. Ianya terhasil daripada proses pereputan anaerobik sejenis lumut yang dipanggil sphagnum serta bahan-bahan organik lain dan biasanya diimport dari negara eropah seperti Belanda.

Ciri-ciri peat moss yang menjadikannya sesuai untuk digunakan sebagai media semaian adalah ianya ringan, tidak mengandungi patogen tanah, bebas benih rumpai, mempunyai pengudaraan yang baik, boleh memegang air dengan baik, dan boleh mengandungi sedikit nutrien tambahan untuk membantu pertumbuhan awal tanaman.

Media peat moss

Peat moss digunakan secara meluas dalam penanaman di seluruh dunia tetapi terdapat impak negatif kepada alam semulajadi dengan kadar penggunaannya sekarang. Sumber peat moss adalah dari peat bog yang terdapat terutamanya di hemisfera utara dan walaupun ia hanya meliputi 3% daripada permukaan bumi tetapi ia mempunyai peranan penting dalam penyimpanan karbon dan mengandungi dalam lingkungan 25% daripada karbon yang tersimpan di dalam tanah. 

Penggunaannya menyebabkan karbon yang tersimpan ini terbebas ke udara dan menambah lagi pencemaran gas rumah hijau.

Peningkatan pencemaran gas rumah hijau menyebabkan pemanasan global

Cocopeat Sebagai Alternatif

Salah satu alternatif peat moss yang lebih mesra alam ialah cocopeat atau sabut kelapa yang dihasilkan daripada sabut buah kelapa. Penggunaan cocopeat adalah lebih mesra alam berbanding peat moss kerana penggunaannya tidak membawa kesan negatif kepada alam secara global.

Kosnya juga jauh lebih rendah kerana dihasilkan secara lokal dan mempunyai banyak kelebihan sama yang disebut di atas mengenai peat moss. Biasanya ia digunakan sebagai media untuk tanaman tetapi boleh juga digunakan sebagai media semaian. Anda juga boleh mendapatkan cocopeat di Kebuna, maklumat lanjut di bawah.

Semai Biji Benih Menggunakan Cocopeat

Sebelum menggunakan cocopeat sebagai media semaian biji benih terdapat beberapa langkah yang perlu dilakukan untuk memastikan semaian tumbuh dengan baik.

1) Cocopeat adalah lebih kasar berbanding peat moss dan berserat. Ini boleh menyukarkan penggunaannya di dalam bekas yang kecil seperti lubang tray semaian. Kandungan serat cocopeat boleh dikurangkan dengan menapisnya.

Jaring digunakan untuk membuat penapis
Cocopeat sebelum (kiri) dan selepas (kanan) ditapis

2) Satu perkara penting yang perlu dilakukan sebelum menggunakan cocopeat sebagai media semaian atau tanaman adalah membasuhnya. Ini kerana ia mempunyai kandungan garam tinggi yang boleh mengganggu percambahan dan pertumbuhan tanaman. Setelah cocopeat ditapis, basuh ia seperti membasuh beras dan ulang 2-3 kali untuk mengurangkan kandungan garam.

Cocopeat sedang dibasuh di dalam baldi

3) Tapis air dan keringkan dengan menjemur di bawah cahaya matahari. Langkah ini bagi memudahkan untuk mengisinya di dalam lubang tray semaian.

Cocopeat lembap dijemur

4) Cocopeat yang telah melalui proses di atas boleh digunakan sama seperti peat moss untuk menyemai biji benih.

Semaian cili dan terung yang menggunakan media cocopeat

5) Selain daripada kandungan garam yang tinggi, cocopeat juga mempunyai kandungan nutrien yang rendah. Oleh itu, baja perlulah dibekalkan apabila semaian telah bercambah dengan menggunakan baja larut air seperti baja AB. Gunakan kepekatan yang rendah dan hanya siram dengan air baja pada waktu pagi.

Pada peringkat ini semaian belum lagi diberikan baja dan ia menunjukkan tanda kekurangan nutrien

Sama ada menggunakan media cocopeat atau peat moss, pastikan air sentiasa mencukupi tetapi juga penting untuk tidak memberi terlalu banyak air yang boleh menyebabkan biji benih menjadi rosak. Selain penjagaan yang betul, pemilihan biji benih yang berkualiti juga penting. Tips-tips lain penanaman sayuran daripada biji benih boleh didapati di dalam artikel di bawah.

Semai Keratan & Buat Tut Menggunakan Cocopeat

Selain semai biji benih, cocopeat juga boleh digunakan untuk semai keratan dan media tut (air layering). Untuk kebanyakan tanaman, lebih mudah menggunakan media campuran tanah sahaja tetapi bagi tanaman yang sensitif seperti pokok tin, penggunaan cocopeat boleh meningkatkan kadar semaian yang menjadi.

Untuk semai keratan, cocopeat juga perlu dibasuh tetapi tidak perlu ditapis terlebih dahulu dan tidak perlu dikeringkan kemudian kerana bekas tanaman untuk semaian keratan bersaiz lebih besar berbanding lubang tray semaian, jadi lebih mudah untuk mengisinya.

Kawalan air juga penting untuk semaian keratan dan mudah untuk terlebih memberi air kerana cocopeat boleh memegang kuantiti air yang tinggi. Mengawal pemberian air adalah agak sukar tetapi bahan seperti perlite dan sekam bakar boleh ditambah untuk meningkatkan pengaliran dan pengudaraan media.

Media campuran cocopeat dan perlite

Campuran cocopeat dengan perlite atau bahan-bahan lain yang meningkatkan rongga media juga memudahkan proses untuk mengurangkan kandungan garam di dalam media. Campuran boleh dibuat dahulu dan diisi ke dalam bekas tanaman kemudian alirkan air ke dalam bekas tersebut. Disebabkan media lebih berongga, mudah untuk air mengalir dan menarik garam dari media tersebut.

Semaian pokok tin menggunakan media campuran cocopeat dan perlite

Berbanding membuat semaian keratan, membuat tut atau markot adalah lebih mudah kerana kurang penjagaan. Cara menggunakan cocopeat untuk membuat media tut adalah dengan membasuh cocopeat kemudian perah air basuhan tetapi jangan keringkan dan isikan sedikit mampat dalam beg plastik kecil dan ikat. Air yang ada mencukupi untuk menyokong pertumbuhan akar.

Bunjut tut dan tut pokok tin yang telah dipotong untuk ditanam

Cocopeat Serbaguna & Mesra Alam

Cocopeat mempunyai aplikasi yang luas di dalam sektor penanaman kerana ianya media yang serbaguna. Ia adalah media pilihan dalam penanaman secara komersial menggunakan sistem fertigasi, boleh digunakan di dalam sistem hidroponik dan sesuai digunakan di dalam campuran tanah. Dengan sedikit usaha, ia juga boleh dijadikan sesuai untuk digunakan sebagai media semaian bagi pelbagai tanaman.

Cocopeat mempunyai pelbagai kegunaan dalam penanaman

Sumbernya iaitu sisa buah kelapa juga bermaksud penggunaannya memanfaatkan apa yang boleh dilihat daripada satu perspektif hanyalah sisa buangan. Berbeza dengan penggunaan peat moss yang mengambil sebahagian penting bumi ini yang mempunyai fungsi mengekalkan keseimbangan alam semulajadi secara global. Cocopeat juga tidak memerlukan pengangkutan yang jauh kerana ianya produk tempatan dan peat moss biasanya diimport dari negara-negara eropah.

Langkah-langkah di atas menunjukkan tidak sukar untuk menyesuaikan cocopeat sebagai media semaian dan boleh lagi ditambah baik contohnya dengan menambah nutrien di dalamnya. Kami akan mencuba campuran cocopeat dengan kompos yang akan meningkatkan kandungan nutrien di dalamnya. Satu perkara penting yang tidak dibincangkan di atas adalah keperluan untuk ‘buffer’ media cocopeat yang kami juga akan tambah di masa hadapan.

Share this post


LIHAT PRODUK
BROWSE PRODUCTS
CARA ORDER
CARA ORDER
HOW-TO ORDER
Kursus Pengendali Makanan ONLINE