Asas Menanam Sayuran Daripada Biji Benih

Asas Menanam Sayuran Daripada Biji Benih

Di sini kami ingin berkongsi beberapa perkara asas menanam sayuran daripada biji benih. Artikel ini disasarkan kepada mereka yang hendak bermula bercucuk tanam di rumah tetapi ianya mungkin juga bermanfaat bagi mereka yang telah lama berkebun. Banyak lagi sebenarnya perkara-perkara yang boleh dimasukkan ke dalam artikel ini tetapi maklumat di bawah adalah yang utama untuk diketahui bagi memastikan biji benih ditanam dan tumbuh dengan baik.

Kualiti biji benih adalah penting.

Tidak semua biji benih boleh bercambah dan kadar percambahan adalah bergantung kepada kualiti biji benih tersebut. Biji benih yang berkualiti secara amnya lebih berisi atau mempunyai saiz yang lebih besar. Untuk memastikan anda mendapat biji benih yang berkualiti dapatkan dari pengeluar yang dipercayai. Biji benih yang dirawat dengan antimikrob dan antifungus juga adalah lebih baik.

Perbezaan antara biji benih yang berkualiti dan tidak berkualiti.

Biji benih yang dirawat mempunyai selaput yang berwarna cerah.

 

Masa yang diambil untuk percambahan adalah berbeza

Setiap tanaman bercambah pada kadar yang berbeza. Bendi adalah antara tanaman yang mudah dan cepat bercambah. Cili pula lebih lambat bercambah dan membesar berbanding bendi. Ada juga biji benih yang akan mengambil masa yang lama atau sukar untuk bercambah. Bagi membantu percambahan, rendam biji benih di dalam air untuk semalaman sebelum disemai.

Bendi adalah antara tanaman yang cepat dan mudah bercambah.

 

Cara tanaman adalah berbeza mengikut jenis tanaman.

Tanaman seperti bayam dan kangkung adalah mudah untuk ditanam, biji benih boleh terus sahaja ditabur terus ke atas media tanaman tetapi pastikan jarak antara biji benih adalah tidak terlalu rapat. Bagi tanaman sayuran daun yang mengembang seperti salad dan kubis pula memerlukan ruangan yang lebih besar antara tanaman. Tanaman seperti ini dan tanaman lain seperti cili dan tomato perlu disemai di dalam tray semaian dan kemudian dialihkan ke media tanaman seperti di dalam pasu atau di atas tanah. Jarak antara tanaman dan saiz pasu perlulah bersesuaian dengan jenis tanaman. Bagi biji benih yang mempunyai kadar percambahan yang rendah, semai secara tabur ke atas media semaian dan kemudian alihkan biji benih yang telah bercambah ke dalam tray semaian.

Kangkung yang ditanam secara tabur terus.

Cara semaian biji benih menggunakan tray semaian. Pastikan biji benih tidak terlalu dalam.

Anak benih yang bercambah di dalam tray semaian.

Anak benih dari tray semaian sesuai untuk dialihkan apabila mempunyai akar yang banyak dan kuat.

 

Gunakan media semaian dan media tanaman yang sesuai

Media yang sesuai untuk semaian biji benih adalah halus, memegang kelembapan dengan baik, mempunyai pengudaraan yang baik, dan gembur (loggar). Media semaian yang baik juga bebas daripada sebarang serangga perosak, penyakit (steril), dan benih rumpai. Contoh media yang sesuai untuk semaian biji benih adalah peat moss. Tanah sahaja tidak sesuai digunakan untuk semaian biji benih kerana ianya tidak steril, terlalu berat, dan tidak mempunyai pengairan yang baik. Media tanaman yang baik pula adalah seperti tanah campuran yang kaya dengan bahan organik, mempunyai pengudaraan dan pengairan yang baik, tahap pH yang optimum dan nutrien yang mencukupi dan seimbang.

Media peat moss adalah amat sesuai untuk semaian biji benih.

Antara ciri tanah campuran yang sesuai untuk tanaman adalah gembur dan poros.

 

Pastikan media sentiasa lembap semasa proses percambahan

Percambahan bermula apabila biji benih menyerap air dan akar akan mula tumbuh untuk mendapatkan nutrien dan air. Pada peringkat percambahan, adalah penting untuk memastikan keadaan yang sesuai untuk pertumbuhan anak benih kerana pertumbuhannya amat mudah terjejas apabila kekurangan air atau terlalu panas. Sebaiknya air perlulah mencukupi sepanjang tempoh percambahan tanpa perlu ditambah. Satu cara untuk mengekalkan kelembapan adalah dengan memasukkan tray semaian ke dalam plastik sehingga biji benih bercambah.

Adalah penting media semaian sentiasa lembap sewaktu proses percambahan.

Contoh tray semaian yang boleh digunakan untuk memastikan kelembapan kekal sewaktu proses percambahan.

 

Cahaya adalah penting selepas percambahan

Untuk memastikan keadaan yang sesuai bagi percambahan biji benih, biji benih kebiasaannya disemai di dalam keadaan yang redup dan tidak panas. Tetapi selepas biji benih telah bercambah, anak benih tersebut perlu didedahkan kepada cahaya matahari. Kekurangan cahaya selepas percambahan akan menyebabkan anak benih tumbuh panjang dan kurus. Cahaya matahari pagi adalah mencukupi untuk memastikan anak benih tumbuh dengan baik.

Anak benih perlu terdedah kepada cahaya matahari pagi apabila telah bercambah.

Perbezaan antara tanaman yang menerima cahaya yang mencukupi dan yang tidak.

 

Tanaman perlu dijaga

Penjagaan juga adalah penting selepas anak benih telah membesar dan terdapat 4 perkara yang perlu diutamakan iaitu, cahaya, air, nutrien dan kawalan perosak. Tanaman memerlukan cahaya yang mencukupi sekurang-kurangnya 4-5 jam cahaya matahari terus tetapi ianya juga bergantung kepada jenis tanaman, ada yang tidak perlukan banyak cahaya dan ada yang perlukan banyak cahaya. Air juga perlu dipastikan mencukupi untuk tanaman, kekerapan siraman adalah bergantung kepada keadaan cuaca. Pembajaan perlu dilakukan untuk memastikan tanaman tumbuh segar dan mengeluarkan hasil yang memuaskan, pembajaan kebiasaannya dilakukan setiap 2 minggu.

Cahaya yang cerah adalah amat penting untuk kebanyakan tanaman.

Kawalan perosak juga penting dan ianya bukan sahaja perlu dilakukan apabila sudah terdapat serangan tetapi kawalan juga perlu dibuat untuk mengelakkan serangan perosak. Contoh kawalan perosak adalah dengan menggunakan semburan kawalan perosak dan kawalan secara biologi iaitu salah satunya dengan menanam tumbuh-tumbuhan yang dapat menarik pemangsa bagi perosak-perosak tanaman.

Kawalan perosak dengan menggunakan spray.

 

Kami berharap artikel ini adalah bermanfaat dan boleh membantu di dalam aktiviti berkebun anda. Jika anda mempunyai sebarang persoalan atau maklum balas sila gunakan ruang komen di bawah.

Share this post

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *