4 Keperluan Asas Tanaman

4 Keperluan Asas Tanaman

Walaupun terdapat cabaran dalam berkebun tetapi menanam dan menjaga tanaman adalah tidak sukar. Seperti kita, tanaman memerlukan beberapa keperluan asas untuk hidup dan dengan memastikan ianya mencukupi, tanaman anda akan tumbuh dengan baik dan sihat. Keperluan asas tanaman terbahagi kepada 4 iaitu air, cahaya, nutrien, dan udara.

Air

Air merupakan keperluan asas utama bukan sahaja untuk tanaman malah untuk semua kehidupan. Kepentingan air untuk tanaman juga dapat dilihat daripada peratus berat air yang terkandung di dalam tanaman iaitu 80%-90% daripada berat tumbuh-tumbuhan adalah air. Air memainkan pelbagai peranan penting untuk tanaman dan antaranya adalah sebagai medium pengangkutan nutrien serta diperlukan juga di dalam proses fotosintesis. Kesan kekurangan air adalah jelas terhadap tanaman iaitu tanaman menjadi layu dan tanaman juga boleh mati hanya selepas beberapa hari tanpa air. Pastikan tanaman anda mendapat air yang mencukupi dengan menyiram sekurang-kurangnya pada setiap pagi dan petang. Walaubagaimanapun, air yang berlebihan juga boleh memberikan kesan yang negatif terhadap tanaman.

Kesan apabila tanaman menerima terlalu banyak atau terlalu sedikit air.

 

Cahaya

Fotosintesis adalah perkataan yang utama dikaitkan dengan keperluan cahaya kapada tanaman. Melalui proses fotosintesis, tumbuh-tumbuhan menghasilkan makanan daripada tenaga cahaya. Melalui proses ini juga tumbuh-tumbuhan menarik karbon dioksida daripada udara dan menghasilkan oksigen untuk hidupan-hidupan lain. Kebanyakan tanaman memerlukan cahaya yang cerah, sekurang-kurangya 4 jam cahaya terus (direct sunlight) setiap hari bagi mendapatkan pertumbuhan yang baik kerana perbezaan keamatan cahaya di antara tempat yang redup dengan tempat yang terbuka adalah amat ketara. Cahaya yang tidak mencukupi boleh menyebabkan daun menjadi kurang hijau dan tanaman tumbuh kurus dan panjang. Kesan kekurangan cahaya boleh dilihat dengan jelas pada waktu percambahan biji benih di mana cahaya yang tidak mencukupi menyebabkan anak benih menjadi kurus dan panjang.

Cahaya yang cerah adalah penting untuk kebanyakan tanaman.

 

Udara

Udara adalah antara keperluan asas tanaman yang tidak perlu disediakan kerana sudah tersedia kepada semua hidupan di bumi. Di dalam udara terdapat dua komponen utama yang diperlukan oleh tanaman iaitu karbon dioksida dan oksigen. Seperti disebut di atas, karbon dioksida diperlukan untuk menghasilkan makanan, dan oksigen pula diperlukan oleh tanaman sewaktu proses respirasi iaitu proses menukar makanan kepada tenaga. Walaupun udara tidak perlu disediakan tetapi terdapat beberapa perkara yang berkaitan seperti pengudaraan tanaman yang perlu dipastikan mencukupi. Pengudaraan yang baik bermaksud pengaliran udara yang baik. Pengudaraan yang tidak baik boleh menyebabkan pertumbuhan kulat kepada tanaman. Selain daripada itu, akar juga memerlukan pengudaraan yang baik. Pastikan tanaman anda mendapat pengudaraan yang baik dengan meletakkannya di tempat yang mempunyai aliran udara serta gunakan media tanaman yang poros untuk memastikan pengudaraan yang baik untuk akar.

Pengudaraan di dalam media juga adalah penting untuk mendapatkan akar yang sihat.

 

Nutrien

Keperluan asas tanaman yang keempat pula adalah nutrien. Tanaman menerima nutrien secara utama melalui akar dan mendapatnya sama ada daripada nutrien yang tersedia di dalam tanah atau yang ditambah ke dalam tanah melalui pembajaan. Terdapat sekurang-kurangnya 13 jenis nutrien yang diperlukan oleh tanaman, yang utamanya adalah nitrogen, fosforus, dan kalium. Setiap nutrien ini mempunyai pelbagai fungsi untuk tanaman tetapi kebiasaannya hanya baja yang mengandungi nitrogen, fosforus, dan kalium yang perlu diberikan kepada tanaman disebabkan kebanyakan nutrien-nutrien lain diperlukan dengan sedikit dan tersedia di dalam tanah. Baja kebiasaanya mempunyai rating NPK iaitu peratus berat nitrogen, fosforus, dan kalium di dalamnya. Secara mudahnya, gunakan baja ‘N’ tinggi untuk menggalakkan pertumbuhan, baja ‘P’ tinggi untuk pertumbuhan akar, dan baja ‘K’ tinggi untuk pengeluaran bunga dan buah. Bagi memudahkan pembajaan, gunakan baja yang mempunyai nilai NPK yang sama rata seperti 8-8-8 atau 16-16-16 bagi memastikan tanaman mendapat nutrien utama dengan mencukupi. Pembajaan kebiasaannya dibuat setiap 2 minggu dan kadar pembajaan adalah bergantung kepada jenis dan saiz tanaman.

Nutrien-nutrien yang diperlukan oleh tanaman

 

Kami berharap artikel ini adalah bermanfaat dan boleh membantu di dalam aktiviti berkebun anda. Jika anda mempunyai sebarang persoalan atau maklum balas sila gunakan ruang komen di bawah.

Share this post

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *