Kedai Kebun Dan Pertanian Putrajaya

Asas Baja Tanaman

Asas Baja Tanaman

Tanaman mempunyai 4 keperluan utama iaitu air, nutrien, cahaya dan udara untuk hidup. Bagi memastikan tanaman hidup dan tumbuh dengan baik ianya perlulah mendapat dengan mencukupi 4 perkara ini. Tanaman boleh mendapatkan keperluan-keperluan ini dari persekitaran tetapi kebiasaannya nutrien perlu dibekalkan kerana nutrien di dalam tanah berkurangan disebabkan diambil oleh tanaman. Nutrien merupakan makanan untuk tanaman dan ianya boleh dibekalkan dengan menggunakan baja.

Pembajaan adalah antara aktiviti penting dalam berkebun.

Terdapat pelbagai jenis baja yang digunakan untuk tanaman yang secara amnya boleh dibahagikan kepada dua iaitu baja sintetik dan baja organik. Baja sintetik dihasilkan daripada campuran bahan kimia seperti ammonium nitrat, kalium sulfat, dan ammonium fosfat. Baja sintetik kebiasaannya mengandungi sekurang-kurangnya 3 nutrien utama iaitu nitrogen, fosforus, dan kalium.

Baja sintetik di dalam bentuk granul.

Selain daripada tiga nutrien yang disebut di atas terdapat sekurang-kurangnya 10 jenis nutrien lain yang diperlukan tanaman seperti magnesium dan kalsium. Kebanyakan nutrien ini tidak perlu kerap dibekalkan kerana kebiasannya telah terdapat di dalam media tanaman dan tanaman hanya memerlukan sedikit sahaja berbanding nitrogen dan kalium. Namun apabila perlu, nutrien-nutrien yang lain ini boleh dibekalkan dengan menggunakan baja organik atau mendapatkannya dari sumber nutrien yang lain.

Elemen-elemen yang diperlukan oleh tanaman.

Baja organik pula ialah baja yang dihasilkan dari sumber semulajadi seperti tanaman, tinja haiwan, dan pelbagai lagi. Kandungan nutrien di dalam baja organik adalah lebih rendah berbanding baja sintetik tetapi ia membantu menyuburkan tanah selain daripada membekalkan nutrien. Lagi satu kelebihan baja organik berbanding baja sintetik adalah ia mengandungi pelbagai nutrien yang diperlukan tanaman manakala kebiasaannya baja sintetik hanya mengandungi 3-5 jenis nutrien.

Perbezaan antara baja organik dan baja sintetik.

Kadar keperluan nutrien pula adalah bergantung kepada jenis dan juga umur tanaman. Sebagai contoh, pokok buah memerlukan lebih banyak nutrien berbanding sayuran daun. Selain daripada itu, kadar penggunaan setiap jenis nutrien juga boleh berbeza mengikut fasa pertumbuhan. Oleh itu, baja yang dipilih dan kadar penggunaan perlulah bersesuaian dengan tanaman dan fasa pertumbuhan.

Fungsi am 3 nutrien utama untuk tanaman.

Kadar pembajaan juga boleh dipengaruhi oleh cara penanaman. Tanaman yang ditanam di atas tanah mungkin tidak kerap memerlukan baja berbanding jika ditanam di dalam pasu disebabkan sistem akarnya boleh berkembang luas untuk mencari nutrien. Media tanaman yang digunakan juga mempengaruhi kadar penggunaan baja. Tanah yang subur dan kaya dengan nutrien akan memerlukan kurang nutrien tambahan berbanding tanah yang kurang subur.

Pokok di dalam pasu perlukan pembajaan kerana sumber nutrien terhad.

Penggunaan baja perlulah mencukupi dan tidak berlebihan dan tanaman boleh memberi penunjuk sama ada kadar pembajaan adalah bersesuaian. Satu cara untuk mengetahuinya adalah daripada warna daun. Sebagai contoh, satu tanda tanaman tidak menerima nitrogen yang mencukupi adalah daun yang tua menjadi kuning. Anda boleh merujuk kepada gambar di bawah sebagai panduan untuk memastikan tanaman anda mendapat nutrien yang mencukupi.

Warna dan corak pada daun boleh memberi petunjuk kekurangan nutrien.

Walaupun pembajaan memainkan peranan penting dalam pertumbuhan tanaman, namun terdapat pelbagai faktor lain yang mempengaruhinya. Air atau cahaya yang tidak mencukupi boleh memberikan kesan yang amat negatif kepada pertumbuhan tanaman. Kadar pH tanah yang rendah atau tanah yang berasid pula boleh mengurangkan kadar penyerapan nutrien oleh akar tanaman. Oleh yang demikian, pastikan faktor-faktor lain juga diambil kira dalam penjagaan tanaman.

pH 6.5 merupakan paras keasidan tanah yang sesuai untuk penyerapan optimum setiap nutrien penting.

Share this post

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *


Hubungi Kami
011-34228877
WhatsApp
Lokasi Kebuna