Cara Membuat Larutan Rujukan EC

Cara Membuat Larutan Rujukan EC

EC meter ialah peralatan penting dalam penanaman secara fertigasi dan hidroponik dan ianya perlu dipastikan tepat sebelum digunakan. Ketepatan EC meter boleh ditentukan dengan menggunakan larutan ‘conductivity standard’ yang mempunyai nilai EC tertentu. Jika bacaan yang diberikan oleh EC meter adalah tidak sama dengan nilai EC larutan ‘conductivity standard’, ia bermakna bacaan EC meter tersebut adalah tidak tepat dan kalibrasi perlu dilakukan. Cara kalibrasi kebiasannya adalah dengan menggunakan sebuah larutan yang telah diketahui nilai EC seperti larutan ‘conductivity standard’ dan melaraskan bacaan EC meter kepada nilai EC larutan tersebut.

Contoh larutan ‘conductivity standard’

Satu lagi perkara yang perlu dipastikan ialah EC meter perlulah memberikan bacaan yang tepat pada julat yang digunakan dalam penanaman. Walaupun bacaan tepat boleh didapati untuk larutan pada nilai EC tertentu, tidak bermakna boleh juga mendapat bacaan yang tepat pada nilai-nilai EC yang lain. Adalah sukar untuk menguji keupayaan EC meter memberikan bacaan yang tepat untuk setiap nilai EC kerana di pasaran terdapat hanya beberapa jenis larutan ‘conductivity standard’ di mana pilihan nilai EC adalah amat terhad.

EC meter berwarna putih menunjukkan bacaan yang jauh berbeza dari nilai sebenar

Satu alternatif yang praktikal dan kos rendah adalah dengan membuat sendiri larutan yang mempunyai nilai-nilai EC yang diperlukan bagi memastikan EC meter boleh memberikan bacaan yang tepat pada julat yang digunakan dalam penanaman. Selain daripada itu, ianya juga boleh digunakan untuk melaras EC meter. Walaupun tidak setepat larutan ‘conductivity standard’ di pasaran, namun anda boleh mendapatkan larutan rujukan EC yang tepat lebih 99% dengan mengikut cara yang akan ditunjukkan di artikel ini.

Nilai EC larutan yang dihasilkan hanya berbeza sedikit (<1%) daripada larutan ‘conductivity standard’

Dua bahan utama yang diperlukan ialah garam masakan 99.9% natrium klorid dan air suling atau air minuman osmosis berbalik (R.O.). Seperti baja, garam akan membentuk ion apabila terlarut di dalam air. Disebabkan nilai EC bagi larutan garam natrium klorid pada kepekatan tertentu telah diketahui maka ianya boleh digunakan untuk membuat larutan rujukan EC. Air suling atau air R.O. perlu digunakan kerana air paip mengandungi bendasing yang boleh memberi kesan kepada bacaan EC. Selain daripada itu, anda memerlukan penimbang elektronik yang sensitif kepada 0.1-1g, beberapa botol air minuman 1.5l kosong yang bersih, corong, dan cawan.

Garam natrium klorid 99.9%

Senarai kadar campuran air kepada garam untuk mendapatkan nilai EC tertentu disediakan di dalam lampiran di bawah.

DIY Larutan Rujukan EC

Berikut ialah penerangan berkaitan proses membuat dan cara menggunakan larutan rujukan EC seperti yang tertera di dalam lampiran:

  • Gunakan botol 1.5l yang bersih untuk membancuh larutan-larutan yang tersenarai. Isipadu larutan dipilih supaya bancuhan mudah sebati apabila botol digoncang dan untuk mengurangkan kesan ralat oleh penimbang.
  • Pertama sekali anda perlu membuat Larutan 1 (L1) yang kemudiannya dari larutan ini, Larutan 2 (L2) boleh dibuat. Buatkan kedua-dua larutan mengikut kadar yang diberikan dan pastikan garam terlarut dengan lengkap.
  • Selain L1 dan L2, nilai EC larutan-larutan yang lain adalah anggaran yang diperolehi melalui interpolasi maka nilai EC sebenar larutan tersebut adalah sedikit berbeza berbanding nilai EC yang tertera di dalam lampiran.
  • L1 dan L2 digunakan untuk membuat larutan-larutan yang lain. Nilai EC LK1 dan LK2 kerap digunakan oleh EC meter di pasaran untuk kalibrasi. Digalakkan untuk menggunakan larutan ‘conductivity standard’ di pasaran untuk mendapatkan kalibrasi yang lebih tepat dan mengelakkan sebarang kesilapan.
  • L2 juga digunakan untuk membuat Larutan Ujian yang boleh digunakan untuk menguji ketepatan bacaan EC meter pada nilai-nilai yang diberikan. Larutan-larutan ini boleh dibancuh di dalam cawan dan terus digunakan untuk mengambil bacaan. Disebabkan kandungan garam yang rendah di dalam L2, ukuran isipadu juga boleh digunakan untuk membuat larutan ujian (1g = 1ml).
  • Untuk menggunakan larutan yang telah dibuat, isi ke dalam cawan yang bersih dan masukkan probe EC meter ke dalam larutan tersebut. Larutan yang telah digunakan tidak boleh disimpan kembali.
  • Digalakkan membasuh probe EC meter dengan larutan yang akan digunakan kerana sebarang bendasing atau kelembapan yang terdapat pada probe boleh mengubah nilai EC larutan tersebut apabila membuat kalibrasi atau mengambil bacaan.
  • Untuk menyimpan larutan-larutan yang telah dibuat, pastikan botol ditutup ketat dan diletakkan di suhu bilik. Namun, ianya tidak boleh disimpan lama kerana pemeruapan masih boleh berlaku yang akan mengubah nilai EC larutan tersebut.
  • Setiap kali hendak menggunakan larutan rujukan EC ini, goncang dahulu untuk memastikan garam terlarut sekata.
Larutan-larutan rujukan EC DIY

Kami berharap panduan ini bermanfaat untuk anda. Jika anda mempunyai sebarang persoalan atau maklum balas sila gunakan ruang komen di bawah.

Share this post

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *


Hubungi Kami
011-34228877
WhatsApp
Lokasi Kebuna