Kedai Kebun dan Nurseri Putrajaya

Cara Menguji EC Meter Menggunakan 100 Plus Active

Cara Menguji EC Meter Menggunakan 100 Plus Active

Terdapat banyak produk EC meter di pasaran dan mengikut pengalaman kami sendiri, banyak juga yang tidak tepat dan tidak sesuai untuk digunakan kerana nilai bacaan berbeza jauh berbanding nilai sebenar. Kami ada menyediakan panduan cara bagaimana anda boleh menguji ketepatan EC meter di halaman di bawah.

Walaupun caranya mudah tetapi ianya memerlukan penimbang yang tepat dan sensitif. Untuk memastikan penimbang adalah tepat, anda akan memerlukan beberapa ‘calibration weight’ yang bersesuaian. Satu alternatif adalah dengan menggunakan larutan conductivity standard yang terdapat di pasaran tetapi kosnya agak tinggi.

Terdapat juga larutan conductivity standard di dalam sachet yang kosnya lebih rendah tetapi ia lebih sesuai digunakan dengan EC meter elektrod grafit. Ini kerana EC meter elektrod logam boleh memberikan bacaan kurang tepat apabila prob rapat dengan permukaan bekas larutan, contohnya permukaan sachet apabila mengambil bacaan.

Satu kekurangan lagi menggunakan larutan conductivity standard adalah ia hanya boleh digunakan untuk menguji EC meter pada satu nilai sahaja. EC meter boleh berikan nilai yang tepat pada julat tertentu tetapi tidak tepat pula pada julat tertentu. Cara yang ditunjukkan dalam panduan di atas menguji EC meter pada 4 nilai EC yang berlainan dalam julat yang digunakan dalam penanaman.

Satu lagi cara yang anda boleh guna untuk menguji EC meter adalah dengan mengambil bacaan EC air minuman 100 Plus Active (tidak berkarbonat) kerana ia mengandungi garam terlarut sama seperti larutan nutrien dan juga mudah untuk didapati. Produk yang dikeluarkan secara besar-besaran seperti air minuman ini mempunyai proses penghasilan yang konsisten maka variasi isi kandungan adalah rendah.

Kami mengambil bacaan dengan menggunakan EC meter Hanna HI98304 DiST 4 iaitu salah satu produk EC meter terbaik di pasaran dan mendapat bacaan 2.08mS/cm. Anda boleh menggunakan nilai ini sebagai rujukan untuk menguji EC meter anda menggunakan air minuman ini. Pastikan ia adalah pada suhu bilik kerana suhu boleh mempengaruhi bacaan EC. Goncangkan juga sebelum ambil bacaan untuk pastikan garam terlarut sebati.

Semasa mengambil bacaan sila pastikan anda ikuti langkah-langkah di bawah untuk mendapatkan bacaan yang paling tepat:

  1. Pastikan prob kering dan bersih sebelum mengambil bacaan. Sebarang pencemaran boleh memberi kesan kepada bacaan terutamanya jika mengambil bacaan dari sampel yang sedikit.
  2. Pastikan elektrod terendam sepenuhnya di larutan. Jika tidak terendam sepenuhnya, bacaan akan jadi lebih rendah berbanding nilai sebenar larutan.
  3. Pastikan tiada gelembung udara terbentuk pada elektrod. Jika terdapat gelembung udara, bacaan akan jadi lebih rendah berbanding nilai sebenar larutan.
  4. Pastikan prob tidak terlalu hampir dengan permukaan bekas larutan. Jika terlalu rapat dengan permukaan bekas larutan, bacaan akan berbeza berbanding nilai sebenar larutan.
  5. Pastikan suhu larutan adalah lebih kurang suhu bilik disebabkan ia boleh mempengaruhi nilai bacaan. EC meter boleh mempunyai fungsi untuk melaras bacaan mengikut suhu.
  6. Pastikan nilai yang ditunjukkan EC meter telah stabil sebelum mengambil bacaan.
  7. Basuh prob setelah digunakan untuk membersihkan sisa garam dari larutan dan mengelakkan daripada sedimen terbentuk.

Walaupun hanya menguji pada satu nilai sahaja tetapi sekurangnya anda tahu karakteristik EC meter anda dalam lingkungan nilai EC tersebut. Terdapat beberapa EC meter yang kami uji menunjukkan bacaan yang agak tepat untuk nilai EC kurang 2mS/cm tetapi berbeza jauh apabila melebihi 2mS/cm sama seperti EC meter putih di dalam gambar. Maka nilai EC ini sesuai untuk memastikan EC meter anda tidak mempunyai isu yang sama.

Perlu ditekankan bahawa cara ini tidak menguji EC meter dengan ketepatan yang tinggi kerana air minuman ini tidak dihasilkan untuk tujuan ini dan proses penghasilan boleh berubah. Walaubagaimanapun, jika bacaan anda jauh berbeza daripada nilai yang kami dapat, kemungkinan terdapat isu dengan EC meter anda. Jika anda hendak memastikan EC meter mempunyai ketepatan yang tinggi sila gunakan panduan dalam link di atas.

Jika anda hendak mendapatkan EC meter, kami juga menjual EC meter yang telah dikalibrasi dan diuji ketepatan bacaannya. EC meter yang kami jual mempunyai kadar ketepatan yang tidak jauh berbeza berbanding EC meter Hanna seperti yang ditunjukkan di dalam gambar. Maklumat lanjut dalam link di bawah.

Bagi penanam komersil, kami amat menggalakkan anda menggunakan EC meter Hanna HI98304 DiST 4. Selain daripada memberi bacaan yang tepat ianya adalah berkualiti tinggi. Ia juga tidak mempunyai isu dengan gelembung udara kerana jarak antara elektrod yang besar jadi gelembung udara tidak terperangkap dan elektrod tidak karat kerana dibuat daripada grafit. Walaupun kosnya tinggi tetapi bacaan EC meter yang tidak tepat boleh menyebabkan kerugian yang besar maka penting untuk memastikan EC meter boleh memberikan bacaan yang tepat dan konsisten.

Share this post


LIHAT PRODUK
BROWSE PRODUCTS
CARA ORDER
DELIVERY SERVICE