Kedai Kebun dan Nurseri Putrajaya

Asas Penanaman Secara Hidroponik

Asas Penanaman Secara Hidroponik

Berkebun ialah aktiviti yang memerlukan komitmen setiap hari untuk memberikan penjagaan yang secukupnya kepada tanaman. Bagi kebanyakan tanaman sayuran yang ditanam di atas tanah atau di dalam pasu, air perlu diberikan sekurang-kurangnya dua kali sehari. Kadangkala adalah sukar untuk memastikan tanaman mendapat penjagaan yang secukupnya. Namun, penjagaan adalah lebih mudah dan menjimatkan masa jika menanam secara hidroponik.

Kebanyakan tanaman sayuran memerlukan sekurang-kurangnya 2 kali siraman sehari.

Hidroponik ialah penanaman di dalam larutan nutrien tanpa menggunakan tanah. Gambar di bawah menunjukkan secara ringkas konsep penanaman secara hidroponik. Tanaman diletakkan di atas takungan larutan nutrien dan akar tanaman tersebut mendapatkan air serta nutrien daripada larutan nutrien di bawah. Maka, tanaman tidak perlu disiram yang boleh menjimatkan banyak masa dan tanaman sentiasa dibekalkan dengan air dan nutrien.

Tanaman sentiasa dibekalkan dengan air dan nutrien melalui penanaman secara hidroponik.

Penanaman secara hidroponik adalah mudah dan ianya adalah permulaan yang sesuai bagi mereka ingin mula berkebun. Selain daripada itu, hanya beberapa barangan yang diperlukan dan bekas tanaman juga mudah untuk dibuat sendiri contohnya daripada botol terpakai dan lain-lain. Kami juga menyediakan set hidroponik takung yang mempunyai semua barangan yang diperlukan untuk memulakan penanaman secara hidroponik.

Artikel ini akan memberikan anda kefahaman asas dalam penanaman secara hidroponik yang boleh diaplikasi untuk pelbagai cara penanaman secara hidroponik. Bahagian-bahagian di bawah disusun mengikut urutan langkah-langkah untuk menanam secara hidroponik. Perkara-perkara asas berkaitan tanaman juga diberi perhatian dan anda boleh membaca artikel-artikel yang diberikan untuk mendapatkan penerangan lebih lanjut. Jika anda mempunyai sebarang persoalan atau maklum balas, sila tinggalkan di ruang komen di bawah.

Sayur salad ditanam menggunakan set hidroponik takung Kebuna.

4 Keperluan Asas Tanaman

Tidak kira penanaman secara biasa atau hidroponik, terdapat beberapa perkara asas yang tanaman perlukan iaitu air, cahaya, nutrien, dan udara. Oleh itu, keempat-empat perkara ini adalah antara aspek utama di dalam penanaman. Bahagian-bahagian di bawah akan menerangkan bagaimana untuk memastikan tanaman hidroponik anda boleh mendapat empat keperluan asas ini dengan mencukupi. Artikel di bawah juga menerangkan dengan lebih lanjut perkara ini.

Keperluan asas tanaman diterangkan dengan lebih lanjut di dalam artikel ini.

Tanaman yang Sesuai

Tanaman yang sesuai untuk ditanam secara hidroponik ialah tanaman jangka masa pendek seperti sayuran dan herba. Pokok hiasan daun dan bunga yang bersaiz kecil juga boleh ditanam secara hidroponik. Walaupun pelbagai tanaman boleh ditanam secara hidroponik tetapi cara penanaman adalah berlainan mengikut jenis tanaman contohnya bekas tanaman untuk sayuran buah seperti cili perlulah lebih besar berbanding sayuran daun seperti salad. Selain daripada itu, keperluan air dan nutrien juga berbeza.

Sayur salad antara tanaman yang sesuai untuk ditanam secara hidroponik.

Bekas

Bekas tanaman hidroponik adalah terbahagi kepada dua iaitu bekas tanaman dan bekas takungan larutan nutrien. Seperti yang disebut di atas, saiz bekas tanaman perlulah bersesuaian dengan jenis tanaman. Bekas takungan juga perlulah cukup besar untuk menampung penggunaan air oleh tanaman. Sebagai contoh, bekas hidroponik di bawah boleh menampung 15 liter larutan nutrien yang sesuai untuk lebih kurang 8 cawan sayuran daun membesar sehingga dituai.

Cawan hidroponik dipegang oleh penutup dan larutan nutrien dalam bekas di bawah. Bekas hidroponik takung ini sesuai untuk sayuran daun.
Cili hidroponik DIY.

Bekas untuk tanaman hidroponik boleh dibuat daripada plastik tetapi pastikan ianya daripada plastik yang tidak mengandungi bahan toksik seperti BPA. Jenis plastik yang sesuai untuk membut bekas tanaman hidroponik ialah ‘polypropylene’ (PP) yang biasa digunakan untuk membuat bekas kotak simpanan plastik. Untuk sistem hidroponik yang lebih kompleks seperti sistem hidroponik di bawah yang menggunakan paip untuk mengalirkan larutan nutrien kepada tanaman, plastik PVC-U, LDPE, dan HDPE sesuai digunakan.

Konsep penanaman secara hidroponik secara NFT yang digunakan untuk penanaman secara hidroponik berskala besar.

Media

Bagi penanaman secara biasa, kebiasannya tanaman ditanam di dalam media tanah. Tanah membekalkan utamanya air dan nutrien kepada tanaman. Selain daripada itu, ianya juga memberi sokongan kepada tanaman dan pengudaraan kepada akar tanaman. Perbezaan utama media tanah dan media hidroponik ialah media hidroponik tidak perlu mengandungi sebarang nutrien kerana setiap nutrien yang diperlukan oleh tanaman disediakan oleh larutan nutrien.

Tidak seperti media hidroponik, media tanah perlu membekalkan nutrien kepada tanaman.

Terdapat pelbagai media yang biasa digunakan di dalam penanaman secara hidroponik antaranya ialah cocopeat, rockwool, span, dan hydroton. Media ini adalah ‘inert’, bermakna ia tidak mengandungi sebarang nutrien dan mikroorganisma serta tidak terurai (cocopeat adalah separa ‘inert’ kerana ianya media organik). Fungsi utama media hidroponik adalah untuk memegang air dan nutrien, menyokong tanaman dan membekalkan pengudaraan yang baik untuk akar tanaman. Walaupun begitu, penanaman sesetengah tanaman secara hidroponik boleh juga dibuat tanpa menggunakan sebarang medium.

Media yang biasa digunakan dalam penanaman secara hidroponik.
Kangkung ditanam secara hidroponik tanpa menggunakan media.

Untuk kebanyakan tanaman, media cocopeat sesuai digunakan dan ia juga mudah untuk didapati. Cocopeat memegang kelembapan dengan baik dan juga mempunyai pengudaraan yang baik tetapi sebaiknya ia perlu dibasuh sebelum digunakan kerana cocopeat mengandungi kandungan garam tinggi yang boleh mengganggu pertumbuhan tanaman. Campuran nutrien juga mungkin perlu disesuaikan untuk medium cocopeat dengan memberi lebih nitrogen dan magnesium. Penerangan lanjut berkaitan karakteristik cocopeat boleh didapati dalam artikel di bawah.

Karakteristik cocopeat perlu diketahui untuk mendapatkan pertumbuhan tanaman terbaik.

Untuk membasuh cocopeat pada kuantiti yang rendah adalah mudah. Masukkan cocopeat ke dalam baldi (bekas lebih kecil jika sedikit) sehingga suku penuh dan kemudian masukkan air sehingga separuh penuh. Kacau cocopeat dan air buat seketika dan kemudian buang air tersebut. Cocopeat perlu dibasuh 2-3 kali untuk memastikan kandungan garam cukup rendah.

Media cocopeat yang telah dibasuh diisi ke dalam bekas cawan hidroponik atau netpot.

Sumbu

Media yang digunakan atau akar tanaman perlulah sentiasa mencecah larutan nutrien supaya tanaman boleh mendapatkan air dan nutrien. Jika tidak boleh berbuat demikian, sumbu perlulah digunakan untuk menarik larutan nutrien kepada tanaman. Antara benda yang boleh digunakan untuk membuat sumbu ialah tali mop dan fabrik filter akuarium. Sumbu yang digunakan perlulah sesuai dengan tanaman dan cara tanam kerana keupayaan sumbu untuk menarik air adalah berbeza mengikut saiz dan material.

Sumbu digunakan untuk menarik larutan nutrien.

Semai

Cara semaian tanaman adalah bergantung kepada jenis tanaman dan media yang digunakan. Secara am terdapat dua cara semaian iaitu semai terus ke media hidroponik atau semai dan alih. Jika menggunakan cocopeat, sayuran daun terus boleh disemai ke bekas tanaman. Sayuran buah seperti cili dan terung sebaiknya disemai di dalam tray semaian dan kemudian dialihkan ke bekas tanaman hidroponik. Cara semaian dan penjagaan diterangkan dengan lebih lanjut dalam artikel di bawah.

Biji benih salad (terbenam sedikit) disemai di dalam media cocopeat. Air bertakung sedikit di bawah untuk memastikan media sentiasa lembap.
Sayuran disemai di dalam tray sebelum dialihkan ke dalam tempat tanaman.
Artikel ini mengandungi tips untuk menyemai biji benih sayuran.

Lokasi

Bekas tanaman perlulah diletakkan di tempat yang mendapat cahaya matahari yang mencukupi serta terlindung daripada hujan. Tanaman perlu mendapat sekurang-kurangnya 4-5 jam cahaya matahari terus (‘direct sunlight’) tetapi ianya juga bergantung kepada jenis tanaman. Namun, penggunaan air adalah banyak jika tanaman mendapat cahaya matahari terus sepanjang hari. Maka, tempat yang sesuai untuk meletakkan bekas tanaman hidroponik adalah di bawah pinggir bumbung supaya terlindung daripada hujan dan hanya mendapat cahaya matahari terus dari pagi hingga tengahari.

Bekas hidroponik takung terlindung daripada hujan dan hanya mendapat cahaya terus matahari pagi di pinggir bumbung.

Larutan Nutrien

Sekurang-kurangya 13 jenis nutrien perlu dibekalkan kepada tanaman untuk pertumbuhan yang lengkap. Nutrien dibekalkan kepada tanaman dengan menggunakan baja larut air atau biasa dikenali dengan nama baja AB yang mengandungi kandungan nutrien yang lengkap. Ianya dicampur dengan air pada kadar tertentu untuk menghasilkan larutan nutrien yang diisi ke dalam bekas takungan larutan nutrien. Larutan nutrien ini perlu dipastikan mencukupi kerana ianya akan berkurangan sepanjang pertumbuhan tanaman. Penerangan lanjut mengenai baja AB boleh didapati dalam artikel di bawah.

Nutrien-nutrien yang diperlukan tanaman.
Artikel ini menerangkan lebih lanjut mengenai baja AB.

Kadar kepekatan larutan nutrien adalah bergantung kepada umur dan jenis tanaman. Bagi sayuran daun, kepekatan larutan nutrien tidak perlu diubah sepanjang pertumbuhannya. Bagi sayuran buah pula, kepekatan larutan nutrien ditingkatkan sewaktu peringkat berbunga dan berbuah. Setiap produk baja AB di pasaran mempunyai formulasinya yang tersendiri maka kadar campuran air dan baja AB untuk menghasilkan larutan nutrien perlulah dirujuk kepada pengeluar produk baja AB tersebut.

Kepekatan larutan nutrien juga boleh diukur dengan menggunakan EC meter. Nilai kepekatan larutan nutrien yang biasa digunakan adalah dalam lingkungan 1.0-3.0mS/cm atau 1000-3000uS/cm. Walaupun EC meter berguna untuk penanaman secara hidroponik tetapi mencukupi sahaja mengikuti kadar campuran baja yang disarankan pengeluar. Selain daripada kepekatan larutan nutrien, nilai pH juga penting tetapi jika menggunakan air paip, nilai pH air adalah dalam lingkungan yang sesuai untuk tanaman. Oleh itu, EC dan pH meter tidak wajib ada untuk penanaman secara hidroponik dan cuma penting untuk penanaman skala besar.

Pengudaraan

Seperti yang disebut di atas, udara adalah antara keperluan asas bagi tanaman dan akar tanaman juga memerlukan udara. Media cocopeat dan media hidroponik lain yang disebut di atas semuanya mempunyai pengudaraan yang baik tetapi perlu dipastikan media tidak tenggelam sepenuhnya di dalam larutan nutrien, hanya sebahagian sahaja. Apabila tanaman membesar, akarnya juga akan bertambah panjang maka paras larutan nutrien tidak perlu lagi mencecah media. Biar sebahagian akar terdedah kepada udara untuk memastikan akar tanaman boleh mendapat udara.

Akar tanaman bertambah panjang sepanjang tumbesaran tanaman.
Konsep ‘Kratky Method’.

Penjagaan

Terdapat dua perkara utama yang perlu dijaga iaitu pastikan larutan nutrien mencukupi dan kawalan serangga perosak tanaman jika perlu. Larutan nutrien perlu ditambah apabila ianya sudah tidak mencukupi untuk menampung keperluan tanaman kerana apabila terlalu sedikit daun tanaman boleh menjadi layu. Kawalan serangga perosak organik seperti minyak semambu sesuai digunakan untuk kawalan afid, koya, dan lalat putih. Bagi ulat beluncas terdapat juga bahan organik yang boleh mengawalnya tapi mudah juga untuk dibuang dengan tangan.

Perosak-perosak biasa tanaman.

Nyamuk juga boleh menjadi isu dalam penanaman secara hidroponik disebabkan air yang sentiasa bertakung menarik nyamuk untuk bertelur di dalamnya. Satu cara untuk mengelakkan daripada populasi nyamuk bertambah adalah dengan menukar larutan nutrien setiap 7 hari disebabkan 8-10 hari diperlukan untuk telur nyamuk menjadi nyamuk dewasa. Larutan nutrien yang hendak ditukar boleh digunakan untuk menyiram tanaman-tanaman yang lain. Alternatif lain adalah dengan menggunakan ‘screen netting’ di dalam bekas takungan seperti yang ditunjukkan di dalam video di bawah.

Kitaran hidup nyamuk.
Menggunakan screen netting untuk mengelakkan nyamuk bertelur.

Tuai

Kebanyakan sayuran daun boleh dituai dalam sebulan dari waktu semaian. Bagi sayuran daun digalakkan untuk menukar larutan nutrien kepada air beberapa hari sebelum dituai untuk mengurangkan kandungan nitrat di dalam daun. Sayuran buah pula boleh dituai hasil sehingga umur 7-8 bulan sebelum perlu ditanam baru. Sebelum menanam tanaman yang baru, sebaiknya dibasuh bekas tanaman hidroponik daripada sebarang kotoran dan lumut. Lumut mudah tumbuh dalam sistem hidroponik kerana larutan nutrien juga ialah sumber makanan dan minuman baginya.

Share this post


LIHAT PRODUK
BROWSE PRODUCTS
CARA ORDER
CARA ORDER
HOW-TO ORDER
Kursus Pengendali Makanan ONLINE